Thursday, May 23, 2013

Tiga Budaya: Ilmu – Membaca – Beli Buku

Oleh H FANSURI

Setelah ruangan ini direhatkan lama kerana ingin memberi ruang kepada pilihan raya, maka ada banyak sajak dan cerpen yang menjadi tidak relevan lagi kerana semua karya itu dikarang pada detik-detik PRU sedang membahang.

Saya memohon maaf di atas perkara ini. Ruangan ini sebenarnya boleh menjadi ruang untuk orang yang hendak menunjukkan sokongannya ke atas Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum itu.


Di ruangan ini, cerpen-cerpen pun mungkin tak perlu disatirakan lagi kisahnya seperti mana kisah politik haiwan-haiwan atas alasan kononnya kerana hendak mengelakkan permusuhan.

Dan ruangan ini mungkin tidak perlu lagi hendak bertapis kata dan berlapis makna jika mahu mengkritik Umno dan Barisan Nasional. Sangat jelas. Ini lidah rasmi parti PAS.

Namun, kejelasan kata-kata terkadang menyebabkan hilangnya seri dan seni kehalusan menyusun kata-kata itu. Maka, cemerlanglah bagi mereka yang bijaksana menyusun kata-kata dan bait-bait bicara.

Di ruangan ini, diharapkan semoga penyumbang karya tidak malu-malu mendedahkan identiti mereka. Terkadang, ada pihak yang takut namanya tersiar di Harakah, lalu mereka bimbang akan kemungkinan karya mereka yang tidak akan mendapat tempat pula di akhbar-akhbar pro-Umno yang lainnya.

Bagaimanapun, jikalau masih ada yang ingin mengelak kepenggunaan nama aslinya sendiri, bertujuan memelihara dirinya, jabatan dan jawatannya, maka hal itu terserah kepada budi bicara masing-masing.

Kenapakah hal ini diungkapkan dengan tiba-tiba? Hal ini kerana, baru-baru ini kita baru melepasi pilihan raya dan kebetulan pula ia bertepatan dengan tarikh Pesta Buku Antarabangsa di PWTC.

Di sana, ada peristiwa penyingkiran yang dikenakan terhadap akhbarawan yang cuba mencungkil isu-isu semasa berhubung politik berhaluan kiri. Untuk bercakap hal sensitif di PWTC yang dikuasai Umno tentu sahaja memerlukan keberanian yang tinggi. Maka, berani itulah unsur pembentukan Budaya Ilmu.

Budaya Membaca ada di mana-mana. Tidaklah semestinya, seorang pembaca buku yang tegar itu berani menyanggah apa-apa yang bercanggah dengan maklumat yang dikutip daripada buku-buku yang dibaca.

Akhir sekali, kita akan bermuhasabah mengenai Budaya Beli Buku. Ada orang suka membeli buku, tetapi tiada pula dia membacanya. Menunjuk-menunjukkan buku-buku yang dibelinya seakan member hiburan ke atas jiwanya sendiri. Orang yang ghairah membeli buku tidak semestinya berani menyelar kezaliman.

Orang yang gemar membeli buku, tapi tidak membaca dan mengajar (membetulkan kepincangan) masih juga ada ruang untuk dipakukan kritik ke atasnya. Boleh juga disindir orang, “Banyak beli, tak semestinya banyak membaca.” Sehingga ada bidalan menyebut, “Kalah membeli menang memakai”.

Tapi, bagi pencandu buku yang gemar membeli buku, tapi tiada membacanya boleh dikatakan, “Menang membeli kalah membaca.” Dari mana asalnya budaya beli buku mutakhir ini? Tentu sahaja Umno. Umno memberi kita baucer untuk membeli buku, tetapi tidak mendidik kita memilih bahan bacaan.

Baucer BR1M ini bertujuan menarik kita untuk terus mengundi BN. Kapitalis Umno terus mengasuh kita berterusan membeli buku. Bukan untuk sebarkan ilmu yang mencerahkan agar kezaliman dicabar. Keberanian itu inti teras pembudayaan ilmu. Dan Umno akan terus menakut-nakutkan kita selamanya.

No comments: