Tuesday, January 10, 2012

Revolusi 901, tergulingkah Najib Razak?

Oleh BOESTAMAM SARI

Rupa-rupanya ada pemandu pelancong di India yang ikuti sejarah politik kepartian di Malaysia. Rafi, dari Kashmir yang asalnya ghairah bercerita tentang isu-isu mengenai kemerdekaan Kashmir ini akhirnya berpindah cerita mengenai kedudukan politik di Malaysia pula.

Usia anak muda itu sekitar pertengahan 20-an. Ketika bas sedang berlarian dalam keadaan tersangkut oleh kerana kemeriahan deretan kereta berbaris di jalan raya, Rafi masih asyik bercerita dengan ghairahnya tentang kedudukan politik Samy Vellu.

"Samy Vellu!?" hati saya separuh berbisik, dengan mata saling memandang kepada teman-teman seperjalanan. Rafi kemudiannya menyanyikan lagu Teri Meri daripada filem Bodyguard, lakonan Kareena Kapoor dan Salman Khan. Kemudian, dia menyambung ceritanya lagi.

"Samy Vellu itu korup! Dia perasuah..."
katanya. "Tetapi, saya senang dengan perdana menteri anda, iaitu Najib Razak..."

Kali ini, kening saya terangkat. Dahi berkerut. Dia tidak tahukah bahawa revolusioner Malaysia kini berjuang mengguling Najib yang mengungguli korupsi pemimpin kerajaan Malaysia kini? Lihat bagaimana Najib tangani kes Shahrizat itu pun sudahlah! Begitulah secebis kisah serpihan peristiwa di India.

Dan, kini dengan tidak semena-mena, wujud banyak laporan polis daripada ahli-ahli Umno yang mendesak agar pihak polis mengadakan sekatan ke atas perhimpunan bertarikh 9 Januari itu. Ini semua timbul gara-gara kerajaan eksekutif hendak menghumbankan Anwar ke penjara sekali lagi.

Manakala itu, pada hari yang sama, seorang mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) Adam Adli Abdul Halim, 22, akan dihakimi di atas alasan, bahawa beliau telah menurunkan bendera Presiden Umno Najib Razak di PWTC.

Kedua-dua mereka ini, baik Adam Adli mahu pun Anwar Ibrahim, sudah pun dizalimi oleh suatu sistem yang berada di bawah cengkaman Umno dan BN. Pendek kata, imej Najib tidak bertambah baik dalam negeri, tapi cemerlang pula di luar negara untuk mereka yang tidak mengetahuinya tembelangnya.

Jadi sikap saya mula kendur kepada Rafi. Namun tidak lama selepas itu, Rafi buka cerita mengenai Anna Hazare. Lelaki ini menjadi wira dalam rancangan mengganyang amalan rasuah di India. Lalu, tiba-tiba pendirian saya ke atas Rafi menjadi positif kembali.

"Agaknya, Rafi memang mahu ambil hati pelancong Malaysia, sebab itu dia puji Najib,"
getus hati saya. "Padahal, Rafi juga sangat memuji keberanian si Anna Hazare dalam politik melawan rasuah di India mutakhir ini."

Saya kira, wajah buruk Najib Razak mesti diperbanyakkan lagi lalu ditulis dalam bahasa Inggeris di akhbar-akhbar seluruh benua Asia termasuk Mongolia dan Kazakhstan juga. Hal inilah yang pertama sekali mesti dilakukan.

Rata-rata rakyat di benua Asia tidak mengetahui kezaliman Najib dan tidak menyedari bahawa, hadirnya gerakan revolusi menumbangkan kerajaan Umno sekali gus menggulingkan Najib Razak secara besar-besaran di Putrajaya itu.

Rakyat Asia tidak tahu bahawa skrip pertuduhan dan keputusan hakim telah pun disedia. Dan ada yang boleh menjangkakan bahawa Anwar Ibrahim akan disumbat masuk ke penjara melalui keputusan mahkamah oleh tangan kekuasaan eksekutif di bawah kepemimpinan Najib Razak itu.

Sifir ini sangat mudah dicongak. Najib Razak gentar dengan pengaruh Anwar Ibrahim dan beliau ingin menyumbat musuhnya ke penjara sekali lagi. Ketika Anwar mendekam di penjara, maka pilihan raya akan bermula selepas itu. Jika betul Anwar ke penjara, maka dia tidak boleh lagi serah jiwa dan tubuhnya kepada sistem kehakiman yang korup ini.

Anwar sendiri sedar bahawa beliau antara yang paling kerap mendengungkan betapa sistem kehakiman kita sudah korup, hancur luluh dan punah ranah. Tapi, yang digemakan Anwar ini tak diketahui ramai. Semua deretan fakta seperti ini tidak diketahui rakyat benua Asia yang ingin menghancurkan korupsi dan amalan rasuah di seluruh benua Asia ini.

Kini waktunya menuai revolusi menjelang 9 Januari. Sama ada terguling atau tidak Najib Razak, hal itu menjadi rahsia Tuhan. Yang tidak menjadi rahsia adalah, perhimpunan aman 901 itu akan berlaku. Adakah demonstrasi itu akan bertukar menjadi sebuah revolusi? Sama-sama kita nanti kesudahannya.

Apa pun yang berlaku selepas ini, baik Anna Hazare, Rafi dan teman-teman revolusioner di India, mesti mengetahui bahawa Malaysia telah menemukan jatidiri dan wajahnya yang benar-benar bebas dan merdeka selepas musim menuai buah-buahan revolusi yang semakin meranum selepas ini.

No comments: