Sunday, April 10, 2011

'Kurang ajar' dalam tafsiran Usman Awang vs kempen NC UM

Oleh H FANSURI

"Sebuah perkataan yang paling ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu.

Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku;
Kau harus menjadi manusia kurang ajar
Untuk tidak mewarisi malu ayahmu.


Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya.


Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar."

[Usman Awang, Kurang Ajar]


Telah wujud dua kelompok dalam kumpulan mahasiswa, khasnya Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya apabila mereka bertentangan pendapat dengan Naib Canselor di universiti berkenaan.

Kelompok pertama melawan kempen NC UM yang bersikap biadap terhadap dasar bahasa. Hal kempen itulah yang siswa lawan. Termasuklah juga yang mereka lawan ialah sikap NC yang mereka anggap sangat keterlaluan kerana menghina siswa di akademi itu kerana gagal mendapat pekerjaan. NC juga begitu ghairah mengejar penarafan universiti di peringkat dunia sehingga mengundang resah dalam kalangan warga kampus.

Sementara itu, ada kelompok kedua yang juga menyanggah kempen NC UM itu secara diam-diam. Tapi, mereka ini agak takut jika dibandingkan kelompok pertama. Kata kelompok pertama, kelompok kedua ini ada kepentingan tertentu dan atas sebab itulah mereka tidak berani menyuarakan bantahan secara terbuka, jelas dan terang.

Tapi yang paling penting untuk dibincangkan di sini, kelompok kedua mengemukakan suatu kenyataan ke atas kumpulan pertama, iaitu teguran kelompok pertama terhadap NC UM itu agak keras. Kelompok pertama itu 'kurang ajar' terhadap NC UM, kata kumpulan kedua. Dan, hal inilah yang kita bahaskan.

Di sini, timbul persoalan lama yang mungkin boleh kita bincangkan bersama - adakah wajar kita bersikap kurang ajar dan biadap terhadap Naib Canselor yang tergamak berkempen untuk bahasa Inggeris sehingga meminggirkan bahasa Melayu di universiti? Jawapannya ialah - para pelajar itu berhak, layak, dan wajar bersikap kurang ajar terhadap NC. Bukan sahaja terhadap NC, malah terhadap sesiapa sahaja yang biadap terhadap bahasa mereka sendiri.

Setiap siswa yang masuk ke perpustakaan Universiti Malaya pastinya bertembung dengan sebuah puisi Usman Awang yang bercakap mengenai pustaka dan kampus UM itu. Rasa kecintaan penyair itu dan berputiknya kemesraannya terhadap UM demikian akrab lewat puisi-puisi revolusinya.

Kalau Usman Awang masih hidup dan beliau melihat gejala NC yang menghina maruah bahasa rasmi di negara ini, pastinya akan ada sebuah puisi yang menyeru anak-anak muda untuk terus-menerus bersikap kurang ajar terhadap mereka yang biadap terhadap bahasa rasmi negara kita.

Sebenarnya, kumpulan pertama itu masih tertib, beradab dan santun juga. Kalau mereka biadap, tentu sahaja mereka menconteng semua papan tanda di kampus UM itu. Tindakan menconteng papan tanda yang berbahasa Inggeris itu barulah tindakan biadap. Dan sikap biadap dan kurang ajar ketika menconteng papan tanda itu pun masih jua dipandang terhormat oleh Sastera Negara Usman Awang.

Jangan bimbang untuk berlaku biadap dan kurang ajar terhadap mereka yang biadap terhadap maruah bahasa negara ini. Kita memang biadap, dan sikap itu memang kena pada tempatnya.

No comments: