Saturday, April 28, 2012

Lawan samseng perlu kekerasan juga

Oleh RUHI HAYATI THANI

Dalam congakan hitungan peribadi saya, samseng ini sudah mengganas dua kali. Kali pertama di Jalan Kebun. Keduanya di Dataran Merdeka itu. Tetapi, setakat ini, belum terdapat tanda gejala bahawa 'samseng' PR akan menuntut balas.

Agaknya, polis dan samseng Umno itu pun sedar bahawa 'samseng' PR tidak akan membuat apa-apa ke atas mereka itu.

Apa pun yang berlaku, kejadian yang sudah menimpa para peserta Occupy pada awal dinihari 19 April lalu itu, akhirnya membuatkan ramai penyokong Pakatan Rakyat tiba mengimarahkan semula kawasan itu dan memenuhi dataran tersebut dengan kegiatan pencerahan pada keesokan malamnya pula.

Maknanya, daripada suatu segi - percubaan samseng Umno yang mahu menakut-nakutkan revolusioner itu tidak berjaya! Rakyat semakin berani apabila mereka sedang berjuang menolak amalan penindasan.

Di suatu sudut lain pula, Unit Amal telah menyatakan tekadnya - bahawa mereka akan 'berkampung' di Dataran Merdeka sehingga acara himpunan Bersih 3.0 dijadualkan pada 28 April ini. Jikalau hal ini berlaku, maka semua ini petanda baik.

Mereka, Umno dan BN itu merancang, tapi Allah s.w.t juga ada rencananya. Perancangan Allah itu yang sempurna pada akhirnya. Mungkin, jika tiada perlanggaran oleh samseng itu, maka tidak ramai yang hadir memenuhi dataran menjelang tarikh 28 April ini.

Ya, itu hanya harapan. Untuk malam-malam berikutnya, kita belum tahu lagi, apakah kesudahannya?

"Dengar kata, Unit Amal dah dapat elaun," kata seorang teman. Saya geleng kepala. Memang saya tidak tahu apa-apa.

Lalu, dia menambah kata-kata, bagi tujuan mengukuhkan pandangannya sendiri tadi, "Bagus juga bila ada elaun tu.. Dah lama Unit Amal tu menumpahkan khidmat setia bakti kepada parti. Mereka mesti mendapat ganjarannya."

Rakan-rakan yang hadir bersama di Dataran Merdeka itu sudah pun membuktikan bahawa, kekentalan semangat waja itu sudah berjaya menepis usaha samseng Umno itu.

Pada malam kejadian itu juga, saya dapat menyerap rasa ketakutan yang menjalar terseludup ke dalam hati dan perasaan sekawanan jerung-jerung samseng itu. Mereka lebih banyak menjerit, "Kamera! Kamera..."

Agaknya, sekawanan samseng itu pun sedar mengenai bahaya yang mungkin mengintai mereka apabila gambar aksi serta wajah mereka terpampang secara terbuka di internet nanti. Maka, sebab itulah kamera yang lebih awal mereka cari.

Lojiknya, kalau gejala kesamsengan Umno ini tidak dibalas, maka samseng Umno ini akan bertindak buas pada kejadian yang lain pula. Hal ini kerana, mereka berasa bahawa mereka ini memang kuat dan dilindungi oleh polis.

Dalam serbuan polis nanti, sekawanan samseng Umno ini, akan terlepas begitu sahaja, dengan begitu mudahnya. Mereka ini akan menjadi lebih sombong dan berasa diri mereka berkuasa melakukan apa sahaja sehingga mengganggu tugas kita sebagai pendakwah yang menyeru ke arah usaha mengguling penindasan dan membuang penindasan Umno, BN.

Bukanlah tiada laporan polis dibuat dan bukannya tidak pernah kita melihat nombor pendaftaran motor kereta mereka di internet. Pihak polis pun memang lebih memaklumi segala perkara yang terkait dengan maklumat peribadi mereka ini.

Tapi, pihak polis seperti mendiamkan diri. Hal inilah yang menyebabkan kepercayaan rakyat kepada polis sudah terhakis. Jika hal seperti ini didiamkan, maka pihak polis akan berdepan dengan perkara yang lebih besar.

Iaitu, bagaimana jika rakyat nantinya akan bertindak sendiri, memburu samseng ini dengan bertindak memukulnya? Saat itu akan tiba apabila setiap laporan itu tidak diendahkan oleh polis, lalu sekumpulan rakyat yang sedar ini akan bertindak semula memukul samseng Umno ini?

Ketika ini apakah tindakan polis? Polis perlu sedar bahawa tindakan rakyat memburu samseng Umno ini adalah berawal daripada sikap berat sebelah polis juga. Atau, bagi 'menyelesaikan masalah', apa kata, kalau polis jangan masuk campur langsung dalam pergelutan antara rakyat dan samseng Umno pada kemudian hari nanti?

Ya, rasanya setelah rakyat mendepani banyak kejadian ditimpa musibah yang didatangkan oleh samseng Umno ini, maka tiada lain lagi. Cuma ada satu jawapan yang pasti ketika polis sudah tolak segala aduan kita ke atas samseng Umno ini.

Iaitu, lawanlah kesamsengan Umno dengan kekerasan juga!

Wednesday, April 25, 2012

Kuliah 'Occupy' dilanggar garuda samseng Umno?

Oleh H FANSURI

Konon diceritakan orang pada zaman dulu, ada garuda yang menyerang perkampungan Melayu. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, turut dikisahkan garuda menyerang bahtera yang membawa Putera Rom yang dinikahkan dengan Puteri China.

Kisah ini bermula dengan cabar-mencabar antara garuda dan Nabi Sulaiman a.s yang kerajaannya sungguh besar pada masa itu. Sumpah sang garuda kepada nabi Allah itu, "Kalau gagal, aku keluar dari bumi Tuhan ini!"

Sunday, April 22, 2012

Khemah Mogok Utusan lambang 'Occupy'?

Oleh H FANSURI

Baru-baru ini, dalam mahasiswa sudah mula keluar berontak di jalan raya utama di Kuala Lumpur. Mereka meresapkan suara yang disambut bingit deruan kenderaan di Dataran Merdeka. Himpunan itu dinamai 'Occupy Dataran Merdeka'.

"Ada 4 buah khemah," saya melaporkan kepada Ketua Pengarang Ahmad Lutfi Othman yang ingin melihat siswa ini dari jarak dekat. Tiba-tiba, malam itu juga, ada 6 buah khemah. Untuk esok lusa, tidak tahulah berapa buah khemah lagi.

Thursday, April 05, 2012

'GA' - aksara revolusi fikiran Melayu

Oleh: H FANSURI

Menjelang musim revolusi, Melayu mesti keras dan ganas berfikir. Salah satu hal yang patut menjadi bahan fikiran Melayu adalah pengaruh aksara huruf 'ga' yang banyak membentuk faham revolusi.

Aksara huruf 'ga' membentuk kata 'gaduh' dan 'gagah'. Dalam musim revolusi, kata yang kerap didengung gema adalah 'guling'. Menurut lidah Inggeris, guling adalah 'roll'.

Sementara itu, guli adalah 'marble' dalam bahasa Inggeris. Nampaknya, dalam hal ini, 'roll' dan 'marble' amat jauh sebutannya. Ditinjau daripada sudut ini, Melayu punya cara gaya pemikiran yang rapi tersusun.

'Guling' dan 'guli' dalam Melayu sudah wujud pertalian, tidak seperti 'roll' dan 'marble'. Di sini, kita kan sakit jiwa, sakit hati, jatuh pengsan, pening, muntah darah dan terkoma kerana memikirkannya.

Jadi, pemikiran Inggeris agak kacau sebab katanya tidak selaras. Jikalau ditinjau ilmu etimologi yang menerangkan asal-usul kata, Inggeris adalah bangsa yang meminjam kata Latin, menyerap Perancis dan lain-lain kata Eropah yang lebih bertamadun.

Menjelang musim revolusi, ada baiknya kita tinjau kata 'guling'. Kata ini mengundang gambaran di fikir kita bahawa benda berguling mesti bulat, bundar. Jika ia tidak bulat dan tidak bundar, maka ia tidak bergolek atau berguling.

Kata bidalan, "Yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang." Maka, golek kerap dikaitkan dengan pergerakan benda yang bulat.

Sebenarnya, kata 'guling' lebih kerap dikait dengan insan, manakala golek dikait dengan benda bulat seperti contoh bidalan di atas.

Selain itu, aksara huruf 'ga' membina kata 'gusti'. Melayu ber'gusti' untuk meng'guling' lawan. Inggeris menyebut 'wrestling' (gusti) untuk guling (roll).

Walau manusia itu daripada bentuk jasadiahnya tidaklah bulat, (kecuali orang gemuk yang kerap disebut bulat kerana sifat perutnya), namun kita tetap menyebut manusia akan jatuh terguling dan bukannya jatuh tergolek.

Contoh ayat: "Bapak Najib dijangka akan jatuh terguling dalam sebuah revolusi yang dijadualkan berlaku pada April ini." Dalam konteks ayat ini, perkataan 'jatuh tergolek' tidak sesuai sebab bapak Najib bukan benda tapi dia insan biasa yang seolah-olah mahu berkuasa mengatasi Tuhan!

Agaknya, Inggeris dan lain-lain bangsa sudah terpengaruh dengan Melayu. Saat menjaring bola, mereka pekik, "Gol!" Hari ini, kata 'gol' disepakati sejumhur bangsa secara ijmak (termasuk Kazakhstan dan Mongolia) ketika demam bola sepak.

Ya, bukankah bola itu bentuknya bulat? Dan, bukankah perkatan guling, gol, golek itu dikait dengan benda bulat? Di Malaysia, ada pemimpin PAS yang dibunuh; Abdul Samad Gol. Entahlah, boleh jadi ruh kata 'gol' ini pun berasal dari Melayu juga.

Syahadan wal arakian, banyak kata Inggeris yang tidak sepadanan lalu menambah kecelaruan fikiran. Berfikir secara Inggeris dan Barat akan menambah berat bebanan fikiran manusia dan Melayu kan bertambah kekeliruan dalam berfikir.

Akhirul kalam, aksara huruf 'ga' juga membentuk kata 'gulung' yang merujuk kertas atau tikar yang digulung menjadi bulat rupanya jika ditenung dari sudut tepi. Simpulan bahasa 'gulung tikar' merujuk perniagaan yang tidak menjadi.

Di bawah siasah kapitalis Najib-Umno, kekuasaan diibarat perniagaan jua. Alang-alang mengguling Najib, jangan lupa 'menggulung tikar' perniagaan politik Umno dan BN ini.

Wednesday, April 04, 2012

'April Fool' jatuhkan Melaka?

Oleh H FANSURI

Dalam bab 28 Hikayat Hang Tuah diperihalkan Puteri Gunung Ledang jadi Raja Melaka. Mungkin juga, watak Puteri Gunung Ledang ini bukan cuma satu, malah ramai wataknya. Puteri yang satu ini dikatakan anak raja Melaka dan mungkin bukan puteri yang dilamar raja Melaka. Wallahu'alam bissawab!

Pemerintahan puteri ini bermula selepas raja Melaka ghaib. Tiba-tiba Feringgi tiba dari arah Manila, bukan Goa, India. Pengarang ini menulis, "... maka datang sebuah kapal Feringgi di negeri Manila membawa dagangan terlalu banyak berniaga ke negeri Melaka itu..."

Tuesday, April 03, 2012

PRU dekat, Najib pilih sahabat dekat

Oleh BOESTAMAM SARI

Seorang sahabat berkata, "Hassan Ali mungkin membazir kerana belanja besar ubah suai pejabat. Tapi, tidakkah kita juga bazir sebab ambil banyak masa sehingga baru dedahkan semua ini? Atau, inilah budaya politik kanan atau kiri? Apabila tidak sehaluan lagi, maka habislah diceritakan?"

Seorang kenalan lain berkata, "Ini bukan saja budaya politik malah budaya kehidupan kita semua termasuk mereka yang berkecuali. Kawan baik hari ini, mungkin dedahkan pekung kita esok apabila kita bukan lagi rakannya."

Monday, April 02, 2012

Lawanlah karya dengan karya

Oleh H FANSURI

Sejak lama dahulu, ada sebuah cerpen tersiar. Tidak ingat saya judul apa. Kemudian seorang pengirim membantah penyiaran cerpen itu lewat mel-e. Dia mendakwa, cerpen itu memandang rendah kepada salah seorang pimpinan parti yang mendokong idea-idea Kerajaan Perpaduan.

Saya tidak pedulikan bantahan ke atas cerpen itu. Bagi saya, dalam dunia penulisan kreatif inilah masanya untuk sesiapa sahaja menggunakan bijaksana fikirannya dalam menyusun kata, mengolah ayat secara tersirat guna menyampaikan maksud-maksud yang berat.

Oleh kerana kebijaksanaan penyair dan cerpenis itu menyusun ayat, maka jangan terkejut dan tersinggung kalau-kalau karya tersebut boleh diangkat dan dinilai sebagai memihak kepada musuh parti kita sendiri.

Berdasarkan pengalaman yang ada, memang ada titipan pesanan daripada seorang penyair kepada penyair lain yang boleh dikirim lewat bahasa indah juga. Ada juga penyair yang menggubah sajaknya, lalu disebutkan sajak itu ditujukan kepada orang-orang tertentu.

Sejak dahulu lagi nenek moyang kita mengajar berbalas pantun. Sajak puisi moden pun perlahan-lahan sudah berkembang dengan pesat. 
 
Arakian dengan kebijaksanaan yang ada kepada mereka, diciptakan pula acara 'berbalas sajak, berkirim balas puisi'. Mungkin acara berbalas puisi berkirim balas cerpen itu pun dilakukan di dalam suasana keruh atau pun berbalas puisi itu dilakukan dalam suasana damai pula.

Contohnya termuat selembar sajak di ruangan ini, titipan khas ditujukan buat Dr Hassan Ali. Ada juga yang tidak menyebut nama rakannya secara terus-terang oleh sebab tujuan-tujuan tertentu yang penyunting sendiri tidak tahu. Dan, bukan tugas dan hak penyunting untuk mengambil tahu sebab itu.

Mungkin ada yang ingin mengkritik watak-watak tertentu sahaja di dalam Pakatan Rakyat, dan dia bukannya memusuhi Pakatan Rakyat secara penuh. Di dalam Pakatan Rakyat, bukan semuanya berjiwa malaikat (dan BN lagi teruk!). Oleh itu, tentu sahaja pimpinan Pakatan Rakyat ini boleh dikritik balas.

Maka, ada penyair yang meluahkan rasa kurang senangnya kepada pimpinan Pakatan Rakyat itu secara halus tersirat dan tidak bernada terus-terang. Di dalam ruangan puisi Berita Harian, saya diberitahu teman, ada sepotong bait puisi saya tersiar, bunyinya lebih kurang...

"Gadisku! Cinta teragung negara kami, diakhiri dengan pengeboman haram
hanya kerana 'gadisnya', mengemis komisen jual beli bahtera tenggelam!"


Tidak disebutkan nama Altantuya, bom C4, Najib Razak, serta kapal selam. Ia tersiar sama ada penyuntingnya terlepas pandang atau tidak faham kepada siapakah libasan kata itu ditujukan. Tapi, begitulah indah dan uniknya dunia sastera saat kita merotan jiwa manusia dengan paluan bebayang bahasa.

Syahadan, setelah kita bercakap tentang sikap nenek moyang kita yang pernah 'berbalas pantun' dan kita ikuti dengan budaya bertikam puisi, maka saya heret pula kata-kata Sasterawan Negara Usman Awang yang pernah bermadah di dalam puisinya; Melayu.

Kata beliau, "Bergaduh secara Melayu, menikam dengan pantun." Inilah yang terlebih santun. Santun itu modal akhlak; sikap bertindak. 
 
Pantun itu modal akhlak berbahasa; mengolah bicara, menyusun ayat agar kita menjadi bangsa terhormat; yang kalau bergaduh pun, nescaya dinyalakan api pertikaian itu dalam kuntuman sejambak mawar senyuman. Hidung pun masih tercium haruman kasturi guna mengelak rasa benci daripada bersemadi di hati.

Kesimpulannya, adalah lebih afdal menegur sesama kalangan penyair menggunakan laras bahasa puitis dengan madah indah juga. 
 
Lawanlah karya puisi dengan puisi, balaslah hukum qisas cerpen dengan cerpen sepertimana berbalas pantun milik pusaka moyang kita yang dikenal sebagai bangsa pencinta kesusasteraan dan persuratan. Namun, jika hendak dibantah puisi, cerpen dengan kiriman rencana pun tiada masalah.

Ia akan kekal sebagai polemik yang sihat, insya-Allah. Pilihan ada di tangan kita. Kita manusia yang bebas membuat pilihan.

Sunday, April 01, 2012

Sokongan Najib kerana undi

Oleh H FANSURI

Saya pulang daripada Sekolah Demokrasi 2.0, tajaan Roketkini (lidah rasmi Dap), Shah Alam pada 24 - 25 Mac. 

Ada pertandingan calon Presiden Sekdem 2.0 diadakan dan ada 3 buah kumpulan NGO diwujudkan dalam kempen. Dan ada kes antara penternak lembu dan pengilang yang cuba dimuhasabahkan untuk dicari langkah penyelesaian.

"Itu cerita benar yang berlaku di Felda Chuping pada 1993,"
kata ketua jurulatih kami. "Ia melibatkan tiga tahun untuk diselesaikan."