Tuesday, January 29, 2013

'Haiwan bermasalah' dalam sastera dan persuratan

Oleh H FANSURI

Aesop adalah nama seorang tukang cerita pada zaman Greek. Ceritanya yang termasyhur adalah kisah seekor serigala yang mengidam anggur yang tergantung tinggi di sebuah pokok. Akhirnya, serigala itu mengalah kerana tidak berhasil mendapatkan buah anggur tersebut.

Kata Aesop, serigala itu berkata, “Ah! Anggur itu masam! Tidak dapat pun tidak apa!”

Aesop merumuskan bahawa – seseorang itu akan mencemuh sesuatu yang tidak berjaya mereka mendapatinya. Serigala itu mencemuh anggur lantaran haiwan itu ada masalah untuk mengambil anggur tersebut. Jika serigala itu berhasil mendapatkannya, maka rungutan itu tidak wujud lagi.

Seorang pencerita adalah juga seorang ahli falsafah. Dan, Alam Melayu melahirkan banyak lagi failasuf yang tidak dinamakan dalam sejarahnya. Nenek moyang kita handal bercerita mengenai kisah sang kancil yang menipu buaya ganas pada zaman Raja Sulaiman.

Demikianlah peranan failasuf Melayu dahulukala menyalakan api penderahan kepada anak-anak mereka agar moral kisah itu akan menyalakan semangat juang mereka bagi melawan pihak yang lebih besar dan gagah. Tetapi, kita sering memandang rendah terhadap cerita-cerita itu.

Maka teknik penceritaan lisan pada zaman lalu yang merujuk hubungan haiwan dengan manusia amat baik diamalkan hari ini. Aesop memulakan kisah seekor serigala yang bermasalah terhadap anggur yang sedang ranum dan failasuf Melayu berkisah darihal sang kancil menipu buaya untuk makan buah-buahan di seberang sungai yang dipenuhi buaya-buaya ganas.

Serigala dalam kisah Aesop itu tumpas dan ditewaskan semangatnya sedangkan failasuf Melayu itu menyalakan api harapan agar terus berjuang mendapatkan kejayaan walau kita keras ditindas oleh orang-orang yang selalu mahu membinasakan kita.

Kaum ibu bapa hari ini jangan memandang rendah terhadap keupayaan cerita haiwan yang boleh menyalakan iltizam anak-anak bagi mengguling penindasan di Putrajaya. Kancil yang tersesat di Putrajaya boleh mengguling dinasour di Seri Perdana juga jikalau kita aktif dan kreatif bercerita.

Kebanyakan haiwan ini menemui masalahnya dalam kehidupan dan sudah tentu kisah-kisah akan berlabuh dan kemudian akan berlayar terus di dalam fikiran manusia sepanjang zaman.

Sesungguhnya, kisah-kisah tentang haiwan ini tidak pernah mati. Ia akan terus hidup. Bagaimana Allah s.w.t bercerita mengenai haiwan-haiwan ini di dalam al-Quran? Ada banyak juga kisah itu. Tapi kita jangan terikat dengan judul, ‘haiwan bermasalah’ seperti yang diangkat Syarifah Zohra.

Nanti kita sulit menemukan kebenaran jika terlalu mengikut arus kemarahan kita. Bagaimanapun ucapan bersejarah; ‘Listen! Listen! Listen!’ itu menyebabkan semua mendapat iktibar yang baru.

Dalam tulisan ringkas ini, kita mula menyemak al-Quran sebagai sastera persuratan unggul untuk menyemak kaitan haiwan bermasalah di dunia hari ini. Ucapan ‘Listen! Listen! Listen!’ itu boleh jadi sebab agar kita kembali menyelak sastera persuratan al-Quran berkaitan haiwan bermasalah.

Sejak era Nabi Adam a.s maka kambing boleh dikatakan ‘bermasalah’ lantaran buat pertama kali ternakan kambing Habil diterima Allah. Masa berlalu dan lembu betina pula ‘bermasalah’ kerana disembelih sebagai cara menghakimi kes pembunuhan terbesar dalam sejarah Bani Israel.

Perkara ini diabadikan dalam al-Quran dan lembu betina itu diangkat sebagai nama sebuah surah. Kita juga melihat gajah-gajah sebagai haiwan ‘bermasalah’ kerana Raja Abrahah telah membawa tentera bergajahnya menyerang Kaabah lalu serangan itu dipatahkan burung Ababil.

Yang amat sadis dan menyedihkan barangkali peristiwa pembunuhan unta Nabi Saleh a.s sebagai haiwan bermasalah yang sudah dibunuh oleh kaum Arab purba yang ingkar ke atas Allah s.w.t.

Lagu ‘Bangau Oh Bangau’ menderetkan sekitar lima ekor haiwan yang bermasalah dalam fikiran bangsa Melayu – bangau, ikan, lembu, katak dan ular. Akhirnya, ular membuat perisytiharan, hal katak sebagai makanannya bukanlah masalahnya kerana memang tertulis katak itu makanannya.

Tetapi pencetus perbahasan mengenai haiwan bermasalah ini tidak tulen Melayu, malah berdarah campuran jua adanya. Buktinya, beliau sendiri tidak tahu apakah nama ikan ‘jaws’ dalam bahasa Melayu. Ini antara bukti bahawa para penyokong dan ahli Umno itu bukannya tulen Melayu!

Friday, January 25, 2013

Ke arah pengislaman bahasa dan sastera

Ke arah pengislaman bahasa dan sastera

Oleh H FANSURI

"Yang membaca kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan mereka dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab dan Al-Hikmah." (Ali Imran, ayat 164).

Apabila menghadiri kuliah Wise di Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 'hari revolusi' tanggal 12 Januari lalu, ada suatu fikiran yang menjalar di fikiran ini, iaitu al-Quran mengislamkan bahasa Melayu, termasuklah mengislamkan bahasa Arab itu sendiri.

Hal ini menjadikan bahasa Melayu mencapai tahap kedudukannya sebagai bahasa Islam yang kedua selepas bahasa Arab. Hal pengislaman bahasa ini juga menyebabkan sabda rasul sudah menjadi berbeza dibanding bahasa Arab masyarakat kala itu.

Lalu, demikianlah nabi sebagai ‘guru sastera dan persuratan al-Quran’ mengajarkan sahabat akan isi ajaran al-Kitab dan hikmah pusaka kenabian. Dan beransur-ansur, bahasa mengubah manusia.

Sejak sastera dan sejarah diajar kepada kita sepanjang Dr Mahathir Mohamad mentadbir, ia telah membosankan sehingga dianggap tidak berkaitan dengan kehidupan. Terkadang ia dipinggir jauh daripada kehidupan manusia, padahal sejarah dan sastera itu nadi yang membentuk kemanusiaan.

Sebuah filem yang baik ditelaah selalu adalah Dead Poets Society yang menunjukkan bagaimana Encik Keating mengajar sastera sehingga ia menjadi hidup, bernyawa dan menyala-nyala.

"Koyaklah buku itu... Ia bukan Bible. Anda tidak akan ke neraka kerana hal ini," berkata Keating ketika menganjurkan pemberontakan ke atas buku-buku puisi yang dipelajari murid-muridnya.

"Di dalam kelas saya anda akan belajar untuk diri sendiri. Anda belajar menikmati perkataan dan bahasa. Tak kira apa dan sesiapa pun memberitahu anda, percayalah perkataan dan idea itu boleh mengubah dunia," katanya lagi. Jadi bahasa itu penting untuk menukar watak keperibadian insan.

Guru sastera dan persuratan patut pengganti ‘nabi-nabi’ dan mewarisi perjuangan Rasul s.a.w. Di sini, kita tertanya-tanya, adakah sudah berlakunya gejala pembaratan dalam kegiatan persuratan?

Apakah seperti ilmu yang telah dibaratkan, maka sastera juga sudah menerima nasib yang sama? Guru sastera seperti Keating bukan nabi, tapi dia faham peranan sastera yang membentuk semula manusia yang sudah lama dilesukan dengan kefahaman beku dalam masyarakatnya sendiri.

"Kenapa saya berdiri di sini? Saya berdiri di atas meja ini untuk mengingatkan saya bahawa kita mesti sentiasa melihat segala perkara dalam cara berbeza...

“Hanya ketika anda berfikir, anda tahu sesuatu yang anda perlu melihatnya dalam cara yang lain walau ia mungkin kelihatan bodoh atau salah,” katanya yang mengajar mereka melihat kelainan. Keating ingin mereka mencari diri mereka sendiri dan tidak terikut dengan rentak dunia hari ini.

Agak saya, urusan memperbaharui cara berfikir guru-guru sastera di sekolah sangat penting hari ini. Guru sastera perlu ada kumpulan sajak nya dan dia akan mengajar mereka dengan semangat.

Kita (persatuan penulis) perlulah sesekali turun mengadakan dialog dan bengkel perbincangan ke atas guru-guru sastera ini dan menyemak apakah masalah yang telah mereka hadapi sebelum ini? Ajukan persoalan, “Kenapa sastera kita tidak mengubah watak manusia seperti sastera persuratan al-Quran telah mengubah dunia dan mencorak peta dunia?”

Pengislaman ilmu sastera adalah satu usaha yang berat. Kerja berfikir bukanlah mainan. Melatih murid berfikir dan menghasilkan kata-kata indah yang terkandung di dalamnya fikiran bertenaga, itu bukanlah tugas yang boleh diremehkan.

Hari ini dalam kalangan pelajar universiti cuma seorang dua siswa yang dicetak oleh pengalaman kehidupan luar kuliah. Bawani yang berhujah dengan Syarifah Zohra (UUM) adalah contoh hari ini. Selebihnya adalah golongan yang terdaya bertepuk, bertempik setelah diisyaratkan universiti.

"I don't mind that your poem had a simple theme. Sometimes some of the most beautiful poetry can be about simple things like a cat, or a flower or rain. You see poetry can come from anything with the stuff of revelation in it. Just don't let your poems be ordinary." Mr. Keating.

Mengasuh murid menggubah puisi adalah latihan supaya murid itu berfikir untuk menjadikannya manusia semula. ‘Pengislaman ilmu sastera’ yang telah dibaratkan sejak lama adalah suatu jihad. Mati kerananya itulah syahid! Ya persatuan penulis perlu banyakkan dialog dengan guru sastera.

Monday, January 21, 2013

Syarifah Zohra perlu berdebat dengan Ambiga Oleh BOESTAMAM SARI Kedudukan sebagai 'ahli bait' bukanlah kayu pengukur kepada wujudnya pemikiran Islam dalam ruang pemikiran seseorang 'ahli bait' itu. Ini jawapan untuk orang yang memendam kritik ke atas manusia yang bernama 'Syarifah Zohra'. Nama Ambiga disebut-sebut Syarifah Zohra di dalam sebuah pertengkaran di universiti di utara tanah air. Tetapi, apakah Zohra mampu dan mahu berdebat dengan Ambiga itu? Asal mulanya, seorang pemudi sedang manfaatkan ruang awam bagi membahaskan tajuk Pendidikan Percuma di sebuah forum kemahasiswaan di Universiti Utara Malaysia. Seperti mana kedudukan forum lain, kedudukan himpunan Bersih dan kebencian ke atas Ambiga turut diangkat dalam forum tersebut. Ini perkara yang biasa berlaku dalam mana-mana forum perbincangan sekali pun. Jadi, di sinilah peranan moderator dalam meluruskan semula garis-garis penyimpangan di dalam forum-forum itu. Tetapi, penyimpangan ini bukanlah isu utama. Yang paling utama dibahas adalah perkara pendidikan percuma itu tadi yang menentukan kewujudan sebuah dasar baru mengenai perjalanan pendidikan negara daripada sekolah rendah sehinggalah ke peringkat universiti. Hal inilah yang wajar ditumpukan. Apabila Zohra sudah diberi peluang bercakap oleh Bawani, maka perbualan meleret-leret kepada benda yang tidak munasabah seperti ikan, ikan jerung, itik, ayam, kucing yang ada masalah. Apa kaitan itu semua dengan pendidikan percuma? Sikap mencela dan menghina jelas kelihatan. Menurut orang-orang seperti Zohra, jika ada kalangan rakyat yang tidak suka corak pemerintahan yang sedia ada, maka mereka keluar sahajalah daripada negara ini. Seruan seperti ini tentu sahaja tidak sihat. Bagaimanapun Zohra mungkin cuba membawa isu manusia rakus ketika menyebut contoh kucing yang bermasalah termasuk ikan jerung itu. Tapi sedarkah beliau bahawa kerakusan itu ada di mana-mana sahaja termasuklah di Putrajaya sendiri. Perbincangan ini tidak boleh membawa fikiran kita ke mana-mana jika forum itu telah pun dikawal oleh satu pihak. Cuma satu pihak sahaja yang ingin menguatkuasakan pandangan mereka, sekali gus menafikan suara orang lain. Universiti kini khususnya di UUM telah jadi gelanggang berat sebelah, medan pertarungan debat yang membosankan lantaran wujudnya sikap yang enggan meraikan beza pendapat sesama kita. Jadi, siswa pencetus perubahan ini perlulah membuka ruang baru pula. Ruang baru itu mungkin perlu dibuat di restoran berdekatan UUM jika sekatan fikiran ini masih dilakukan pentadbiran kampus. Forum di restoran ini mesti disebarluas di Youtube sebagai bukti bahawa IPT tidak mengizinkan wacana pendidikan percuma itu didebatkan. Wacana pinggiran tentang pendidikan percuma ini biar berlanjutan dan tak akan terputus selepas pembantaian perkhemahan 'occupy' di Dataran Merdeka dan penahanan Umar di Penjara Kajang itu. Fokus mahasiswa selepas ini adalah Syarifah Zohra. Bagaimanakah anda ingin 'memerangkap' beliau untuk berucap sekali lagi mengenai ikan jerung, ayam, dan burung yang bermasalah dan hubungannya dengan kerakusan manusia yang selalu mengadu masalah di negara ini? Atau, anda boleh minta Sinar Harian dan TV9 anjurkan debat tentang kebebasan bersuara dan pendidikan percuma untuk dibahas tuntas bersama Ambiga dan lain-lain tokoh. Kini Syarifah Zohra telah menjadi suara baru bagi orang-orang Umno. Sayanglah jika bakat berdebat (baca: menyekat hujah) ini disia-siakan oleh Najib. Untung-untung, dia akan jadi calon pilihan raya dengan manifesto - ke arah jihad menentang pendidikan percuma!

Persuratan al-Quran mewah dialog Islam – Kristian


Oleh H FANSURI

Pepatah Mongolia menyebut, “Debat dengan sabar itu lebih baik dibanding damai berpura-pura.” Ini bermaksud, berhujah menyatakan buah fikiran lalu akan berperang lidah itu adalah lebih baik dibanding berdiam kerana enggan bergaduh walau dalam hati penuh tepu dengan gelora dendam.

Terkini, Umno dan BN akan memperalat isu agama iaitu ‘kepenggunaan’ nama Allah oleh orang bukan Islam sebagai alat mencandui pemikiran rakyat. Akhirnya, dalam diam, satu rumusan lain akan terbina - lebih baik mengundi BN dibanding Pakatan Rakyat yang merelakan hal ini terjadi.

Dalam keterbatasan ruang, kita tidak dapat meneruskan banyak ulasan berhubung betul salah dan benar – batil dalam isu itu. Sungguh! Ini ruangan kecil dan kerdil dan tidak mungkin memuaskan hati orang-orang yang ingin mencari kebenaran, menegakkan yang hak dalam isu ini.

Secara ringkas, ada dua kelompok yang berhempas pulas menjawab isu ini. Kelompok akademik dan politikus parti. Akademikus lebih jujur sebab tiada kepentingan. Manakala politikus hanyut dalam arus dilema lantaran memikirkan soal undi.

Kelompok akademik yang berkecimpung dalam politik pun akan turut dicengkam dilema kerana hal yang semacam ini jua. Akhirnya terbitlah dua pandangan - satu pihak merelakan dan lainnya menentang. Ini pendapat Muslimin. Ada juga gerejawan yang enggan nama ‘Allah’ digunakan.

Tapi, tidak mungkin media Umno akan menyingkap kata-kata gerejawan ini kerana ia tidak akan berfaedah untuk melepaskan peluru fitnah bagi mengganyang Pakatan Rakyat. Hanya kenyataan PR yang dilaga-lagakan dalam medan pertempuran akliah bertujuan memeningkan fikiran orang.

Jadi perkara inilah yang patut difahami terlebih awal kenapakah isu ini diwujudkan semula. Oleh sebab ruangan ini terbatas, maka kita hentikan di sini saja kecuali pembaca berminat menyalakan polemik yang merebakkan pencerahan selanjutnya, maka bolehlah wacana ini diperpanjangkan.

Sekarang, marilah kita bermuhasabah mengenai kedudukan al-Quran sebagai ‘persuratan agung’ yang tertuang di dalamnya debat-debat antara Muslimin dan Kristian, Yahudi (Ahli Kitab). Kita akan terjumpa sejumlah kata-kata dan pesan yang berkaitan seruan khas terhadap ‘ahli kitab’.

Betapa banyaknya seruan berbunyi di dalam al-Quran itu, “Ya ahlal kitab… (Wahai Ahli Kitab)” dan hal ini tentu sahaja menunjukkan betapa debat-debat pertempuran akliah antara Muslim dan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu berlaku dengan sangat hebatnya!

Rasulullah s.a.w tidak perlu menoleh kepada pepatah Mongolia ketika mengamalkan dasar debat dengan sabar dengan ahli-ahli kitab ini. Jawapan baginda dipandu wahyu Allah s.w.t.

Dan, banyak lagi seruan yang dimulai dengan ‘Wahai Ahli Kitab’ (Ya Ahlal Kitab) di dalam al-Quran itu. Ini jelas menunjukkan bahawa sastera persuratan al-Quran telah menggalakkan debat pertempuran akliah bersama Kristian dan Yahudi.

Tetapi, berapa ramai sasterawan dan penyair yang berniat hendak terjebak ke dalam wilayah ini? Tidak ada! Kalaupun ada, jumlahnya sangat sedikit. Ramai menulis untuk anugerah-anugerah.

Selebihnya menggunakan lapangan sastera persuratan bagi melawan kezaliman pemerintah. Dan, sikap ini pun bagus juga kerana mereka termasuk dalam aliran kepenyairan Hasan bin Tsabit dan Kaab bin Malik yang berjuang membela maruah nabi dengan bakat kepenyairan mereka itu.

Jika sastera persuratan al-Quran sendiri banyak menjawab persoalan akidah, maka penyair Islam dan sasterawan Islam tentulah akan banyak menumpukan kegiatan kepada debat Islam - Kristian. Bukan tugas politikus Muslim untuk bersoal-jawab dengan kelompok Kristian Missionaries.

Barangkali tidak keterlalu jika dikatakan bahawa inilah antara tugas dan peranan sebenar penyair Muslim itu iaitu mengadakan debat bersama ahli-ahli kitab pada masa sekarang. Untuk mencapai maksud, tujuan itu, kepustakaan penyair Muslim perlu ada Bible dan kitab-kitab agama lain juga.

Kadang-kadang, halangan ini bukan berpunca daripada faktor luaran, malah faktor dalaman. Jika ingin simpan kitab agama lain dalam pustaka, ada yang sanggah dengan contoh batil, “Tak boleh disatukan nasi dan najis…”

Sesetengah yang lain berkata, “Mungkin si fulan nak pisahkan antara nasi, najis. Setelah dipisah keduanya, maka nasi itu akan dimakan.” Rumusan awal, kegelapan pemikiran penyair Muslimin perlu disuluh sebelum disalahkan politikus yang sebenarnya mentadbir negara dan wang rakyat.

Ya penyair Muslim kini perlu bersedia menggalas tugas untuk meneruskan debat Islam - Kristian kerana sastera persuratan al-Quran itu sendiri dipenuhi debat antara kedua-dua agama besar kini.

Thursday, January 17, 2013

Kita perlu 'Taman Ismail Marzuki' di Malaysia

Kita perlu ‘Taman Ismail Marzuki’ di Malaysia

Oleh H FANSURI

Apabila Stadium Merdeka dibanjiri kira-kira 40,000 orang di dalamnya dan di luarnya entah berapa puluhan ribu lagi, pada detik inilah, A Samad Said menyatakan kagumnya terhadap para peserta.

Beliau tidak pernah menjangkakan betapa puisi, sajak dan kata-kata ini boleh dilihat sebagai senjata dalam perjuangan mengguling kezaliman. Di Stadium Merdeka, saya termenung jua mendengarkan ucapannya itu.

"Di usia saya begini inilah kali pertama saya membaca puisi di hadapan hadirin sebegini ramai," kata novelis Salina itu selepas Ito menyanyikan lagu ‘Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia’.

Rakyat masih dibuai kelekaan dan membuat 'gelombang turun-naik' ketika Pak Samad mula-mula membaca puisinya itu. Kegembiraan dibuai lagu Ito itu masih terasa juga. Tetapi, lama-kelamaan, semuanya terdiam dan jadi khusyuk pula mendengar pada tiap-tiap bait puisi itu.

Di Atas Padang Sejarah

Di dataran sejarah suara kita sesubur rumput,
bisik kalbu bergaung garang tanpa resah tanpa takut.

Lagu kita rindu demokrasi darjat awan tertinggi
mengindah ufuk senja merai kemerdekaan diri.

Rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba,
seramainya, sederapnya, setulusnya, kita bersama
menjulang panji negara, bangga dicium angin jati
di tengah gelora kita sebangsa dan sejiwa murni.

Di atas padang sejarah pantang kita mungkiri janji
setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi.

Diri kita amat padu maruah senandung setulus hati
melunturkan wewarna zalim, menyubur kuning berseri.

Kita, tenaga jati, gah berjuang demi keadilan,
kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran.

Tamat puisi A. Samad Said itu. Pesan-pesan yang terbang di ruang udara stadium itu sudah agak lama dihadam demonstran revolusioner. Pesan-pesan yang dicurah lewat puisi memang mudah dikunyah. Jadi kepelbagaian persembahan dalam kegiatan kesenian itu amat perlu.

Pada malam sebelumnya saya hadiri ucapan tokoh-tokoh di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru. Kelompok artis Hairie Othman, Abby Abadi berada di atas pentas. Mereka ini bukan barisan pemidato dan keahlian mereka itu pun bukanlah dalam bidang ceramah pidato.

Ada suatu kekosongan yang perlu kita isi sekarang dalam mengupayakan setiap kemahiran orang yang ingin menggulingkan kerajaan zalim Umno dan BN dalam masa akan datang.

Stadium Merdeka itu entah berapa upah sewanya untuk 2 ke 3 jam. Timbalan Presiden PAS Haji Mohd Sabu bergurau petang itu, “Anda yang datang, andalah yang bayar.”

Para petugas itu hadir mengutip derma untuk membayar sewaan stadium tersebut. Agaknya kita perlukan sebuah tempat yang dapat himpunkan segala bentuk kegiatan seni dan budaya yang menolak penindasan dan mengguling kezaliman.

Ada orang yang suka berhibur. Ada orang suka menyanyi dan mendeklamasikan puisi. Ada yang suka berlakon dan ingin dilibat dengan pementasan teater. Ada yang suka menyunting filem pendek. Dan ada yang ingin teater pendek berbentuk lawak jenaka di Stadium Merdeka.

Tapi, apakan daya ia milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Jika kita berjaya tawan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat, maka majlis-majlis kerajaan tempatan wajar juga memberi pelepasan kepada kegiatan seni yang ingin mengguling kezaliman penguasa itu.

Di Indonesia sudah ada Taman Ismail Marzuki. Rasanya kumpulan pelakon, anak seni perlu kemukakan tuntutan ke atas Pakatan Rakyat - “Kita mahu Taman Ismail Marzuki Malaysia!”

Tuesday, January 15, 2013

Meluruskan asas pemikiran penyair

Meluruskan asas pemikiran penyair

Oleh H FANSURI

Barangkali, dalam tempoh-tempoh masa berharga yang semakin menghampiri detik pembubaran Parlimen, kita tak perlu lagi bengkel penulisan kreatif dan latihan mengarang novel. Kebanyakan pengarang novel sejak dahulu tidak dibangunkan kemahiran mereka dengan bengkel tersebut.

Kesusahan hidup telah mengajar mereka erti berani, keperitan hidup zaman perang telah banyak mencetak khazanah paling berharga, iaitulah pengalaman hidup mereka sendiri.

Penulis yang hidup menyaksikan perang dan penjajahan pada zaman British dan Jepun tentu saja terlibat dalam politik melawan penjajah. Ertinya, pengalaman hidup berbentuk politik zaman, era penjajah inilah yang membina garangan kata-kata yang menerbitkan keindahan yang tersendiri.

Selepas merdeka, pengarang muda telah menjadi senang dan tidak merasai kelazatan hidup yang terhimpit. Barangkali, sesekali mereka ini perlu ditamrinkan dan diletakkan di sekolah pondok.

Kesusahan dan keperitan hidup itulah yang akhirnya membina daya kreatif dalam penulisan. Dan kesimpulannya, jika hendak melatih jiwa pengarang yang tahan lasak, belajar untuk hidup susah!

Kehidupan susah menyebabkan sesiapa pun boleh bangkit menjadi ahli falsafah. Dan, kehidupan susah akibat dijajah, ditindas itulah yang menzahirkan penolakan demi penolakan dalam bentuk seni yang terindah - cerpen, puisi, sajak, novel dan hikayat-hikayat perang pada zaman yang lalu.

Politik yang menindas itulah yang melonjakkan sederetan nama penulis. Maka, kesenangan hari ini mungkin tidak berjaya dan dan tidak berdaya menghasilkan pengarang seperti masa lalu. Kita sudah tamat barangkali dalam upaya melahirkan pengarang seperti masa yang lalu.

Sedangkan perang masih terjadi, dan revolusi masih juga hadir di sana-sini meski tiada perang di tanahair sendiri. Ada juga yang keluar untuk meriwayatkan kisah revolusi di luar negeri tapi sulit pula menyerap rasa derita dan pahit maung orang tertindas dalam karya-karya mereka.

‘Perang’ hari ini di tanah air sendiri kini tidak lagi hadir dalam wajah penjajah British, Jepun dan Portugis yang menyinga tapi ‘perang’ (saudara kembar revolusi) berlaku antara mustadh’afin dan mustakbirin di negara sendiri sesama kita. Pengarang yang merakam semua ini adalah perwira!

Kalau dihayati kisah perjuangan rakyat membantah Lynas, isu Pengerang dan lain-lainnya, maka keindahan boleh sahaja tercipta tanpa kita perlu memburu bengkel latihan penulisan kreatif pun. Kepayahan dan perasaan orang itulah guru yang membantu dalam melatih kepengarangan itu.

Hari ini juga, kita asyik membicarakan karya-karya novelis 1950-an, 60-an dan seterusnya. Jadi, jika kita menulis hal-hal yang lari daripada catatan sengketa ‘perang’ antara Pakatan Rakyat dan BN, maka tiada lagi catatan kita itu diendahkan pengarang muda untuk 20 tahun akan datang.

Entah di mana silapnya? Adakah kerana kita diburu ketakutan untuk menulis ini disebabkan oleh rasa sayang jika nama ditahan daripada senarai pemenang anugerah yang berjejeran di akhbar.

Banyaklah yang kita perlu muhasabahkan diri. Polemik-polemik dan debat-debat mengenai dasar parti-parti politik seakan-akan mati dengan sendirinya di tangan para pengarang. Pengarang tidak akan berani bercakap dan memihak atas sebab-sebab yang sulit disebutkan.

Dan, jikalau ditanya-tanyakan selalu berhubung kesulitan mereka itu, akan malu-malu pula sang pengarang mahu menyatakan sebab kenapa mereka tidak bersuara membetulkan keadaan itu.

Akhirnya, yang terbit itu adalah keluhan, teriakan dan ratapan di warung kopi mengenai masalah politik negara. Apabila diajak berbincang hal keluhan ratapan itu secara rasmi dan bertulis, maka tiada pula yang sudi dan sanggup berwacana mengenainya padahal debat adalah tugas-tugas kita.

Inilah antara sikap-sikap yang ada dan entah bilakah ratapan tidak rasmi di warung kopi tentang masalah politik kenegaraan ini boleh diangkat secara rasmi untuk dibahas secara terbuka pula?

Monday, January 14, 2013

Croissant Rosmah, tanda awal kejatuhan Najib?

Croissant Rosmah, tanda kejatuhan Najib?

Oleh IBNUAMIR AL-PENDANGI

"…It is the duty of every patriot to protect his country from its government…" - (Thomas Paine)

Marie Antoinette adalah permaisuri terakhir Perancis yang kerap dinisbahkan dengan revolusi di negara berkenaan. Hari ini, Perancis kerap dikaitkan dengan Malaysia gara-gara skandal kapal selam Scorpene.  

Menurut catatan ramai pihak, permaisuri yang gemar bermewahan ini pernah mengeluarkan ungkapan yang memedihkan hati rakyatnya sendiri, “Jika tiada roti untuk dimakan, makanlah kek seperti saya.”

Kononnya kata-kata itu membangkitkan lagi gelora dan kepedihan. Hati mereka jadi tersayat dan tersiat-siat ekoran kelaparan yang memuncak. Rakyat fikir, aduan berhubung kelaparan mereka itu didengari.

Malahan, Marie bertindak liar dengan mengeluarkan kata-kata yang menyinggung hati mereka. Revolusi itu pun mula bangkit menjadi marak terus bagaikan api yang tidak dapat dikawal dan ditahan-tahan lagi.

Kini Rosmah Mansor datang membikin onar lagi dengan roti croissant. Cara isteri Najib Razak itu berbual kepada pihak media sangat menjengkelkan. Jawapannya menyinggung rasa ramai pihak juga.

“Pastikan roti dan croissant ini sampai kepada anak-anak ini, sebab saya tidak fikir anak-anak daripada pusat Permata ini pernah mengecapi croissant.

"Jadi tolonglah beri mereka peluang untuk merasai croissant - bukan sahaja anak-anak di rumah (jagaan) tetapi juga di pusat Permata," katanya lagi.

Sama ada kita sedar atau pun tidak, Rosmah secara tidak sengaja telah menghina anak-anak Permata itu sendiri. Penghinaan pertama, adalah kerana beliau seolah-olah beranggapan bahawa mereka itu miskin, dan lantaran kemiskinan itu, mereka tidak pernah mengecapi nikmat merasai roti itu seumur hidup.

Kata-kata ini memberi gambaran bahawa, beliau sedar bahawa tidaklah ramai orang yang memakan roti mewah croissant, iaitulah pastri yang berlapiskan mentega dan berbentuk bulan sabit.

Penghinaan kedua, adalah berkaitan nilai-nilai akademik yang bersangkutan kependidikan Permata itu. Rakyat tertanya-tanya, adakah anak-anak mereka dihantar ke Permata untuk makan roti croissant atau untuk menimba ilmu pengetahuan? Alangkah hinanya jika mahu makan sedap, maka perlu ke Permata.

Dan, Permata pun bukanlah lagi menjadi sebuah pusat pendidikan dan pembelajaran untuk anak bestari itu, melainkan ia menjadi tempat jamuan makanan mewah pula nanti. Mujur tiada lagi alim-ulama’ yang berfatwa, bahawa memakan roti croissant itu adalah ‘sunnah Rosmah’.

Rosmah selalu hadir dengan polemik murahan seperti ini. Maka, kali ini roti croissant pula yang menjadi sasarannya untuk kembali menghina rakyat yang tidak memakan roti tersebut. Bagaimanapun semua itu diwajahkan dengan watak mulia dan bermaksud baik, iaitulah program Roti 1Malaysia.

Atas nama program ini, maka ada usaha mengumpul lebihan roti daripada hotel mewah untuk diagih ke rumah-rumah kebajikan dan kepada insan-insan yang lebih memerlukannya.


Lalu, beliau mencadangkan agar program itu diperluas lagi kepada pusat pendidikan anak-anak Permata yang berada di bawah seliaannya selama ini.

"Saya ingin merayu dan mencadang untuk pertimbangan program Roti 1Malaysia – mungkin anda boleh pertimbang secara serius untuk memperluas program ini ke semua pusat Permata kami di seluruh negara," katanya semasa pelancaran acara itu di ibu kota pada baru-baru ini.

Mungkin setakat inilah tahap pemikiran Rosmah. Beliau hanya bercakap mengenai roti. Mujurlah beliau tidak meminta capati. Antara banyak-banyak roti, Roti Perancis juga digemari orang. Mungkinkah roti itu ada hubungannya dengan revolusi?

Arakian, tanggal 12 Januari di ibu kota, ada siri demonstrasi berikutnya yang akan menjawab kebiadapan Rosmah Mansor dan Najib Razak yang angkuh dengan kekayaan dan kemewahan mereka selama ini!