Saturday, March 31, 2012

Najib - Muhyiddin mencetak 'Angkatan Gagap'?

Oleh H FANSURI

Setiap tahun akhbar-akhbar kita akan dengan megahnya memahat kata-kata bahawa pendidikan negara telah mencetak pelajar yang mewah A berganda. Tetapi, pelajar yang mendapat A, meraih markah tertinggi di dalam matapelajaran ini bukanlah alat untuk meluruskan kembali fikiran masyarakat.

Lalu, sistem pendidikan hari ini tentu sahaja masih bermasalah besar, kerana bangsa ini belum pernah mencetak anak-anak muda yang menggalas tugas untuk membantu rakyat menjadi cepat dewasa dan matang dalam politik kenegaraan.

Friday, March 30, 2012

Najib tersepit antara mufti dan Rosmah

Oleh BOESTAMAM SARI

Sebuah akhbar Singapura menyiarkan kisah keluarga Ketua Wanita Umno Shahrizat Abd Jalil yang memiliki empat firma berdaftar di negara pulau republik berkenaan.

Jadi, bukan mudah kalau ingin menegakkan nilai kesederhanaan Wasatiyah dalam diri dan keluarga Umno hari ini. Antara saranan mufti serta perintah Rosmah, Perdana Menteri Najib Razak tersepit banyak hal juga. 

Jangan digimikkan gaji pada Hari Buruh

Oleh RUHI HAYATI THANI

Rasulullah s.a.w bersabda: "Berikan upah kepada pengambil upah sebelum kering peluhnya". (Ibnu Majah). Hari ini, dalam membahas hubungan majikan dan buruh, Islam melihat pekerja bukan hamba manusia untuk menghasilkan pengeluaran. Ini kerana, penghambaan yang sebenarnya cuma kepada Allah S.W.T.

Oleh itu, mestilah diusahakan agar diwujudkan keadilan antara majikan, buruh di mana gaji yang diberi setimpal dengan kerja yang dipikul buruh. Malah, baginda berpesan, upah mesti disegerakan sebelum kering keringat buruh.

Wednesday, March 21, 2012

Apakah Najib akan bela Imam Hoslan?

Oleh BOESTAMAM SARI

Baru-baru ini sudah heboh mengenai cerita seorang anak yang tergamak tinggalkan ibunya yang lumpuh di sebuah hotel bajet. Masyarakat kini sedang menuju ke arah bibit keruntuhan budi. Di pihak atasan dan bawahan, keruntuhan budi bermaharaja- lela.

Hotel bajet itu terletak di Kg Baru, Jalan Raja Muda Abdul Aziz. Kisah beliau dipaparkan di Malaysia Hari Ini (MHI) pada pagi 12 Mac lalu. Tiadalah orang yang mengetahui bahawa di hotel itu sudah bersimbah air mata berjurai milik seorang ibu tua lumpuh dari Kg Jawa. Dia menangis ditinggalkan anaknya.

Ibu dan bapa adalah aset berharga menuju ke syurga. Kalau tiada syurga dan neraka sekali pun, jika tiada dosa pahala membela ahli keluarga sekali pun maka rasa belas kasihan itulah aset mustahak yang melayakkan kita semua digelar manusia penuh kemanusiaan. Lumpuh si ibu tua boleh dirawat terapi. Lumpuh rasa belas kasihan di hati anaknya itu, entah siapakah yang peduli lagi?

Tindakan membuang anak itu barangkali tidak sama seperti sikap dan tindakan Najib Razak 'memecat' Shahrizat Abdul Jalil atas nama peletakan jawatan dengan rela hati. Tindakan anak 'memecat' ibu tua dari rumah tidak seperti 'pemecatan' Shahrizat daripada jawatan. Dua wanita, dari dua belahan dunia berbeza. Shahrizat menteri wanita 'dipecat' ketika seorang ibu tua 'dipecat' dari rumah anaknya di Kg Jawa.

Kita wajar bertanya - di manakah hilangnya kemanusiaan ketika Najib Razak memerintah hari ini? Terdahulu sebelum ini, Najib meminta supaya golongan ulama, cendekiawan Muslim dan penulis maya bergabung sebagai satu benteng kukuh dalam mempertahan kepentingan dan maruah Islam.

Tetapi, adakah Najib Razak pernah menanamkan benih fikirannya ke dalam jiwa penulis blog, ulama dan cendekiawan Muslim itu agar mereka sedar iaitu kedudukan kasih sayang itu sangat penting dan bernilai untuk masa depan negara?

Antara tanda bahawa Najib Razak telah ketandusan kasih sayang adalah pengecilan tanah rizab Melayu yang kini tinggal sekitar 1.3 juta hektar saja. Jika beliau kasihkan Melayu, kenapa ada 273 ekar tanah Kampung Melayu Tradisi Kg Chu Badak Sentul Kuala Lumpur yang telah diambil alih? Di sana, sekitar 160 buah keluarga dihalau bagaikan pelarian.

Tetapi dalam keadaan begitu pun Najib masih berpesan secara tidak bertanggungjawab terhadap tiga kumpulan yang bertenaga dalam bidang pemikiran dan penulisan ini; ulama, penulis blog dan cendekiawan Muslim. Katanya, tiga kumpulan itu perlu prihatin ke atas perkembangan semasa dan perubahan dasar kerajaan agar setiap maklumat dapat disampaikan dengan tepat.

"Justeru berjihad dalam menyebarkan kebenaran dan menegakkan syariah Islam sama ada melalui penulisan atau percakapan hendaklah dimulai dengan niat yang ikhlas, beramanah, maklumat yang jujur dan tepat, serta tidak mengelirukan pihak yang mendengarnya," kata beliau lagi.

Kenapakah Najib hanya mahu penulis blog, ulama dan cendekiawan itu menulis dasar kerajaan saja? Sebetulnya, jihad dalam tafsiran Najib Razak adalah menyebarkan maklumat di pihak kerajaan sahaja dan pihak atasan sahaja dan ia bukannya melibatkan sebaran maklumat di peringkat rakyat bawahan.

Kenapa tidak Najib bersikap lunak dan mengambil peduli hal-hal yang dibangkitkan oleh mereka dan cuba selesaikan sedaya-upaya. Inilah hubungan dua hala yang sepatutnya dirintis dan dibina oleh seorang Perdana Menteri. Najib tidak boleh melaksanakan semua ini kerana di hatinya telah berkubur kasih sayang.

Terbaru, heboh mengenai seorang imam masjid yang berjihad menolak penyelewengan wang di sebuah masjid. Tetapi imam itu digari bagai penjenayah. Imam Hoslan Hussein, hatinya bertambah parah melihat kecurangan hakim. Seliparnya dilempar sebagai tanda protes!

Lalu, beliau dihukum penjara setahun secara tiba-tiba. Jika ada sedikit ruang untuk berkasih sayang di hati Najib, maka beliau akan turun membela Imam Hoslan itu. Tetapi, apakah Najib Razak akan turun membela keluarganya yang daif itu, tidak dapat dipastikan lagi.

Harakah menyumbang RM2,000 kepada keluarga Imam Hoslan hasil sumbangan umat. Majlis pertunangan anak Najib Razak dan putera Kazakhstan telah menelan belanja RM400,000! Jumlah ini adalah 200 kali ganda dibanding sumbangan rakyat ke atas Imam Hoslan yang disampaikan lewat Harakah.

Pada musim orang buang ibu di hotel bajet ini, rakyat tertanya-tanya, pudarkah rasa kasih Najib sehingga begitu tega membiarkan keluarga Imam Hoslan terkontang-kanting sendirian tanpa bapa dan suami? 

Jangan terlalu ikut telunjuk Rosmah, inginkan majlis pertunangan yang mewah tapi membiarkan ibu tua ditinggal kesepian di hotel bajet sekali gus begitu tega melihat kesengsaraan keluarga Imam Hoslan terkapa-kapa tanpa pembelaan sewajarnya.

Tuesday, March 20, 2012

Isu Syria: Sejak bila KPT bertanggungjawab?

Oleh BOESTAMAM SARI

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak akan bertanggungjawab ke atas siswa yang enggan pulang dari Syria. Ada hal aneh apabila KPT angkat bicara mengenai hal kebertanggungjawaban. Sejak bila KPT terfikirkan tanggungjawab ini? Semak kedudukan siswa di Upsi dan kisah UKM4, adakah mereka ini dilayan secara bertanggungjawab oleh KPT?

Apabila wartawan bertanya kepada Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin, maka jawapan yang paling kerap diterima adalah - nasib pelajar diserahkan kepada universiti. Biarlah universiti mengambil tindakan ke atas mereka.

Shahrizat letak jawatan, bukan tamat masalah

Oleh RUHI HAYATI THANI

Sebenarnya, Shahrizat Abdul Jalil telah pun kaya bersama keluarganya dan beliau tidak perlu bekerja lagi sebagai menteri. Di celah-celah kerancakan dan riuh rendah rakyat yang mahu Shahrizat dipecat itu, kerajaan menyangka - bahawa 'pemecatan' (peletakan jawatan) itulah langkah penyelesaian ke atas segala-galanya. Padahal, hakikat sebenarnya bukanlah sebegitu.

Shafie Apdal dalam kenyataannya memuji penuh tindakan Shahrizat ini. Katanya, rakyat tidak menilai sikap mulia ini (meletak jawatan) sebagai mengikut kehendak pembangkang. Hal ini, menurutnya, adalah sikap mulia yang wajar dicontohi.

Sunday, March 18, 2012

Abai Syria, kecoh Israel demi PR

Oleh RUHI HAYATI THANI

Sekurang-kurangnya, ada dua isu antarabangsa melibatkan kaum Muslimin yang sepatutnya dinyalakan api perbincangan mengenainya dengan nyalaan yang terang. Iaitulah isu kekejaman di Syria dan keduanya isu penindasan rakyat Palestin oleh ketenteraan Israel.

Tapi, antara Syria dan Palestin, nampaknya media-media dan akhbar yang dikawal rapi seutuhnya oleh BN telah memilih isu Palestin (setepatnya Negara Israel) untuk dibahaskan oleh rakyat. Kenapakah hal ini terjadi sedemikian rupa?

Saturday, March 17, 2012

'Usrah' PPSMI - mingguan atau bulanan?

Oleh H FANSURI

Sekitar 2005, ketika bekerja sebagai wartawan di Siasah, saya menemani Ahmad Lutfi Othman ke Kolej Era Baru di Kajang. Ketika itu sudah ada ura-ura di pihak kerajaan hendak melaksanakan dasar PPSMI ini secara menyeluruh ke atas semua jenis sekolah termasuk aliran Cina dan Tamil juga.

Langkah kerajaan untuk meng'PPSMI'kan sekolah bukan aliran kebangsaan ini dibantah keras oleh kumpulan Dong Jiao Zhong (DJZ). DJZ adalah perkumpulan NGO Cina yang aktif dalam mengangkat wacana berhubung usaha memartabatkan pendidikan kaum Cina. Ekoran itu, DJZ bertindak memanggil kumpulan NGO Melayu dan India juga.

Friday, March 16, 2012

Hoslan: dosa sejengkal hukuman sedepa

Oleh BOESTAMAM SARI

Ketika Imam Hoslan membaling selipar ke arah panel hakim, maka hal itu boleh kita sebut sebagai maklumbalas yang terzahir ekoran luapan kemarahan beliau terhadap hukuman ke atasnya. Dia tidak pernah merancang hendak melakukan sedemikian.

Perilaku sebegitu tentu terjadi secara tiba-tiba dek kemarahannya itu. Juga, hal sedemikian boleh juga disebut sebagai ilham Allah ke atas dirinya untuk menyentuh batin nurani dan sanubari manusia agar terfikir sesuatu - adakah mahkamah sekular hari ini layak dimuliakan rakyat?

Thursday, March 15, 2012

Kekirian Usman Awang; menyokong PKMM, Parti Rakyat

Oleh H FANSURI

Penyair revolusioner Hasan Bin Tsabit sememangnya kerap memuji baginda Rasulullah s.a.w lewat persembahan syair gubahannya. Antara syair beliau:-

"Dikaulah kedua-dua cahaya mata ini
dengan kepergianmu yang berwibawa,
aku seketika terzahir sebagai lelaki buta
yang tidak berkuasa lagi memandang cahaya
sesiapa pun yang ingin mati menjejakmu
biarlah dia pergi menemui ajalnya.

Dan aku, cuma risau dan terharu
dengan pemergian terindahmu."


Penyair revolusioner Hasan Bin Tsabit adalah penyair berhaluan kiri pada masanya melawan gubahan penyair Jahiliyah yang memihak Musyrikin Quraisy yang angkuh seperti Umno dan BN. Hari ini, antara penyair yang terserlah jiwa kirinya adalah Usman Awang.

Usman mengetengahkan banyak sajak untuk rakan revolusioner di dalam gerakan parti Melayu berhaluan kiri seperti Parti Rakyat dan Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Antara yang disokongnya adalah Hasnul Hadi, politikus Parti Rakyat dari Melaka.

HASNUL HADI PUTRA SELAT MELAKA

"Hasnul Hadi,
suaramu adalah suara rakyat tertindas
jiwamu adalah jiwa berdarah luka pahlawan
tidak ada tolak ansur untukmu
tidak ada langkah mundur bagimu
tidak ada perkataan menyerah dalam dirimu;
kau berjuang dan jatuh
lalu berjuang dan bangun lagi
jatuh lagi, kau bangun dan terus berjuang...

Hasnul Hadi,
kalau ada yang paling berharga milikmu
semuanya telah kau berikan;
kau berikan titi keringatmu
kau berikan tenaga khidmatmu
kau berikan kebahagiaan rumahtanggamu
dan untuk semua ini hadiah yang kau terima
derita dan penjara.

Kau tidak dapat dikalahkan
oleh penjara dan tahanan;
kau tidak dapat ditundukkan
oleh ancaman dan seksaan;
kau tidak dapat dilumpuhkan
oleh menyakit yang melumpuhkan;
suaramu lantang mengungkapkan
keadilan dan kebebasan setiap insan
tanpa mengenal warna kulit dan keturunan.


Hasnul adalah calon Parti Rakyat. Parti itu tertubuh setelah British haramkan PKMM. Dalam kata lain, Parti Rakyat adalah penerus perjuangan PKMM.

Sementara itu, lewat novel Tulang-Tulang Berserakan (TTB) tertuang baris kata yang memihak kepada perjuangan PKMM pada era penentangan terhadap penjajahan British.

"Orang PKMM. Dah beberapa bulan ini Koperal Dolah dan sesetengah mata-mata ada menderma kepada PKMM. Jadi itulah tadi Koperal Dolah bercakap dengan aku pasal itu. Tidak banyak, kalau boleh lima puluh sen seorang sebulan,” Leman melanjutkan penerangannya.

"Ah, lima puluh sen bolehlah," Mamat menjawab.

"Ya, aku pun setuju."

"Tetapi tak salahkan kita menderma?" Mahmud bertanya.

"Kalau nak ikut salah memang salah. Kita orang polis tak boleh bantu dan campur politik. Tetapi janganlah diheboh-hebohkan. Cukup bulan dapat gaji, beri sajalah."
(halaman 74)

Sementara itu, pada halaman berikutnya; 75 (TTB), Usman mencatatkan sebagai berikut:-

"...Risik-risik orang polis memberikan derma untuk partai PKMM ini ada juga sampai ke telinga ketua-ketua Melayu mereka, tetapi kebanyakannya tidak mengambil berat sangat. Hanya seorang dua daripada bahagian Special Branch yang mencuba mengorek-ngorek tetapi kemudiannya hilang begitu saja penyiasatannya."

Timbul riak gelisah bergelora sesetengah penulis karya kreatif mengenai kedudukan betul salahnya seseorang penyair, penulis novel, cerpenis jika mahu memihak kepada parti politik tertentu, khasnya haluan kiri.

"Sepatutnya kita orang tengah, menjadi detak nadi kuasa ketiga,"
kata mereka. Saya fikir, mahaguru penyair Usman sudah jawab hal ini lewat sikapnya. Tidak salah menjadi orang tengah dan bukan salah jika mahu memihak parti tertentu.

Tapi adalah masalah jika mahu (kononnya) jadi orang tengah dan dalam masa sama tidak berlapang dada (lalu memandang rendah kepada sikap penyair memihak parti tertentu). Kalimat 'hizb' (parti) jelas hadir dalam al-Quran. 

Usman memilih jalan pemberontakan-memihak kepada Parti Rakyat, PKMM dan sosok politikus berhaluan kiri, seperti mana penyair Hasan Bin Tsabit, memihak Hizbullah (parti Allah) yang dipresidenkan oleh baginda Rasulullah s.a.w!

Wednesday, March 14, 2012

Kiriman balas surat buat Rafidah Zahari

Oleh H FANSURI

Anak Zahari Hasib, puan Rafidah mengirim surat ringkas dengan titipan puisi dengan iringan Al-Fatihah kepada kami. Demikian antara isi suratnya itu.

Salam, Encik H Fansuri,

Saya Rafidah Zahari, anak kepada Allahyarham Zahari Hasib ingin menyatakan ucapan terima kasih kepada Harakah kerana telah menyiarkan sajak-sajak ayahanda saya sepanjang karier beliau sebagai penulis.

Tuesday, March 13, 2012

Derma BR1M demi Islam tidak salah

Oleh RUHI HAYATI THANI

Perdana Menteri Najib Razak tidak kemas menyusun hujah mengenai Negara Berkebajikan. Katanya, 'Welfare State' menyebabkan negara miskin. Walhal sebelum ini beliau mendakwa, Umno sudah pun membangun Negara Kebajikan.

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), katanya, adalah contoh Umno menjaga kebajikan. Mulanya Umno tiada masalah dengan BR1M, sehinggalah ahli PAS memanfaatkan wang itu untuk tabung pilihan raya.

Monday, March 12, 2012

Wujudkah kempen perang ketakutan mufti?

Oleh RUHI HAYATI THANI

Di Utusan Online, ada kenyataan Mufti Pahang Abdul Rahman Osman tentang kempen mengundi ini. Berkata beliau, "Mereka yang layak mengundi wajib berbuat demikian dalam membentuk sebuah kerajaan yang dapat membela kesucian agama dan keamanan."

Memang dalam Islam, jelas wujud arahan Tuhan untuk mengangkat pemerintah bertujuan menyelesaikan urusan umat. Firman Tuhan, "Sesungguhnya Allah SWT menyuruhmu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil..."

Saturday, March 10, 2012

Tuduhan khalwat diselubungi keraguan

Oleh BOESTAMAM SARI

Malam larut ke dinihari. Tapi, saya hadir juga dalam acara pengkebumian arwah Mohamed Shafri Shamsuddin, bekas wartawan Harakah selepas selesai solat jenazah itu. Di tanah perkuburan itu saya melihat kelibat Ustaz Badrulamin menabur semula saki baki tanah ke dalam liang lahad arwah Shaffri itu.

Dalam berpeluh keringat, beliau berpesan kepada para penggali kubur, "Mampatkan tanah, tapi jangan dipijak-pijakkan tanah tu."

Friday, March 09, 2012

Persatuan penulis perlu mesin cetak sendiri

Oleh H FANSURI

Sememangnya banyak kiriman cerpen, sajak rencana yang sampai ke meja sastera sama ada dalam bentuk salinan kertas 'hard-copy' ataupun 'soft-copy' di dalam bentuk kiriman mel-e. Ada ramai yang gigih mengirim sajak, puisi, tapi sayangnya oleh mutu bahasa, maka tidak dapat disiarkan juga.

Kadangkala, timbul rasa kasihan juga. Jadi, terpaksa dilepaskan juga walaupun dengan berat hati dan rasa payah sekali.

Thursday, March 08, 2012

Tanah Melayu dikhianati, masa untuk PR diundi

Oleh RUHI HAYATI THANI

Johor dilihat sebagai kubu kuat Umno dan Melayu. Sama ada ia akan dirobohkan Pakatan Rakyat pada masa depan, itu tidak diketahui lagi. Wajah-wajah pengkhianat Melayu dikatakan dari sana juga. Umno ada sejarah panjang menodai bahasa Melayu.

Sebagai termaklum, Perdana Menteri Najib Razak telah menukar nama stesen bas Puduraya kepada Pudu Sentral. Ini adalah bukti pengkhianatan Najib ke atas bahasa Melayu. Yang bergelar pejuang bahasa masih memberi undi kepada Umno walaupun banyak pengkhianatan Umno ke atas bahasa Melayu.

Wednesday, March 07, 2012

Melayu belum sedar MCA bodohkan Umno?

Oleh BOESTAMAM SARI

Di mana-mana pun sangkaan atau keyakinan seperti ini memang ada. Bunyi sangkaan dan keyakinan itu adalah, "Dalam BN, Umno kuat dan boleh kuasai MCA. Tetapi, adakah dalam gabungan Pakatan Rakyat yang masih rapuh itu, PAS boleh kuasai Dap?"

Selalunya, kata-kata ini lahir dari lidah orang-orang Umno itu sendiri. Namun, isunya di sini bukanlah persoalan benar atau pun tidak. Isu penting di sini - adakah kenyataan ini bertaraf sangkaan atau sebuah keyakinan yang cuba dijelmakan atas nama penyelidikan rambang.

Tuesday, March 06, 2012

Pencemaran Lynas penting dibahas dibanding khalwat

Oleh RUHI HAYATI THANI

Musibah itu melanda kira-kira hampirnya himpunan kilang Lynas akan diadakan di Kuantan. Ustaz Badrulamin memimpin satu angkatan ke Kuantan untuk menghadiri satu mesyuarat yang melibatkan temu rapat antara pimpinan PKR di seluruh negara.

Tiba-tiba, langkah sedikit sumbang. Dengan itu, timbul isu khalwat. Sebenarnya, laporan akhbar masih awal dan berada di tahap yang masih meragukan. Jadi, tidak perlu ditumpukan kepada sesuatu yang meragukan. Yang diyakini benar adalah kilang Lynas yang beroperasi untuk menjahanamkan Malaysia.

Monday, March 05, 2012

Debat Anwar-Najib, jangan sampai rakyat berdemo

Oleh RUHI HAYATI THANI

Debat itu hak rakyat untuk menilainya. Kenapa Dr Mahathir, selepas tinggalkan politik, masih diktator? Kenapa beliau fikir, suaranya akan tenggelamkan suara rakyat yang menuntut agar debat Anwar - Najib dilaksanakan? Adakah beliau mahu rakyat berdemonstrasi agar Najib sedia debat dengan Anwar?

Apabila Dr Mahathir menolak debat diadakan antara Anwar - Najib, lebih ramai rakyat berfikir. Adakah beliau takut Najib akan tergelincir lidah dan akan terbongkar lebih banyak salah laku kerajaan sejak era pemerintahannya?

Saturday, March 03, 2012

Arwah Zahari Hasib dalam kenangan

Oleh H FANSURI

27 Februari, 2012 | malam 'deadline'

Saya mengenali Zahari Hasib sejak 2005 saat mula bekerja di Siasah. Pada suatu pagi, dia hadir ke pejabat untuk mengirim hadiah gula-gila buat Ahmad Lutfi Othman yang mentadbir akhbar itu. 

Kebetulan, Ahmad Lutfi tiada lalu dia pulang begitu saja. Sejak itu, saya fikir, dia hadir ke ibu kota, semata-mata ingin mengirim hadiah kepada beberapa orang akhbar.